Sunday, 28 July 2013

Adil Fitri di Afrika


Begitu pantas masa berlalu dan Ramadhan Al Mubarak telah pun tiba dan akan pergi.Ketibaan bulan suci ini sudah pastii akan membawa seribu  kenangan  kepada kita semua.Apa pun keadaan pertama sekali kita  perlu bersyukur kepada Allah swt kerana telah diberikan sempatan sekali lagi untuk menunaikan ibadah puasa un ini  dan akan berhari raya nanti.Suasana Hari Raya sudah pun mula dirasai disegenap pelusuk negara.Suasana hari raya yang hanya timbul setahun sekali sudah pun boleh kita alami.



Bagi saya, setiap kali tibanya bulan yang mulia ini dan menjelang Idil Fitri saya sering teringat dan mengimbas kembali Hari-hari Raya yang pernah saya lalui diperantauan.Terkenang pada tahun 1999 ketika itu tidak langsung  terlintas  ketika itu  bahawa saya akan menjalankan ibadah berpuasa dan berhari raya di Freetown, Republik Sierra Leone. Pengalaman berada jauh dari kaum keluarga dan sabahat handai banyak memberikan keinsafan kepada  saya dan pada masa yang sama juga  timbul  perasaan memahami dan simpati kepada mereka-mereka yang merantau ke negara kita.

Sierra Leone  merupakan negara bekas jajahan British dan pernah mengharumi perang saudara yang sangat dahsyat.Negara ini dikurnia Allah swt dengan hasil bumi merupakan batu intan yang berkualiti tinggi dan ini menjadi peyumbang kepada peperangan saudara yang berlaku. Bahasa Inggeris ditutur oleh kebanyakan rakyat Sierra Leone dan ini tidak menimbulkan masalah bagi saya berinteraksi  dengan masyrakat tempatan. Republik ini terletak di bahagian barat Afrika dan sebilangan besar penduduknya beragama Islam yang terdiri dari berbagai suku kaum. Sejurus menjejak kaki di bumi ini otak saya   sudah mula merancang kehidupan harian  yang bakal saya hadapi di sebuah negara yang jauh berbeza adat resam dan budaya dengan tanah air sendiri. Lebih menyulitkan  lagi dengan perintah berkurung yang berkuatkuasa dari jam 2000-0600 setiap hari. Namun, bagi diri saya semua ini bukan menjadi satu masalah besar sebaliknya apa yang dihadapi menjadi satu nilai  tambahan kepada 'survival skill' saya dan menjadi pengalaman yang  berharga.

Saya menjadi tetamu dan tinggal di sebuah rumah banglo di Juba Hill, satu kawasan elit, di Freetown bersama-sama dengan Mr Keith Biddle, Ketua Polis Negara (KPN) Sierra Leone dan isterinya Susan. Beliau merupakan seorang mantan pegawai kanan polis Britain dari Manchester.Beliau telah dilantik  secara kontrak oleh kerajaan Sierra Leone untuk memimpin Pasukan Polis republik itu yang menghadapi bermacam masalah. Rumah tiga tingkat ini terletak di lereng  bukit  dan berhadapan dengan pemandangan panorama yang sungguh menarik.Pantai Lumley dan lautan Atlantic jelas terpapar saperti satu lukisan besar tanpa dilindungi oleh apa-apa pun.Ini mengingatkan saya kepada keadaan saperti di kawasan Tanjung Bungah atau Batu Ferringhi di Pulau Pinang. Rumah ini lengkap dengan kolam renang tapi malangnya  kemudahan ini telah rosak semasa serangan oleh pemberontak-pemberontak Revolutionary United Front (RUF) yang menentang pemerintah semasa. Bekalan letrik juga dicatu dan rumah  bergantong kepada 'generator' waktu letrik dicatu pada malam hari. Maklumlah rumah ini yang menjadi kediami rasmi KPN Sierra Leone sudah pasti dikawal ketat oleh 'Special Service Division' (SSD)  satu pasukan elit polis Republik Sierra Leone. yang dapat disamakan dengan Pasukan Gerak Khas Polis DiRaja Malaysia. Turut berkongsi rumah KPN ini ialah  empat lagi mantan pegawai polis Britain dari Manchester yang membuat hidup seharian saya tidaklah membosankan kerana dapat berinteraksi dengan mereka-mereka ini.


Menikmati "cassava leaves" bersama anggota SSD
Bila  tibanya   Ramadhan semua pegawai-pegawai British  ini  telah berlepas  pulang  untuk  bercuti  Xmas dan hujung tahun di England. Apa lagi  jadi boslah saya dibanglo ini dengan dikawal oleh anggota SSD bersenjata lengkap. Untuk bersahur saya akan mendapatkan segala keperluan  dapur sebelum perintah berkurung dipasar raya yang kebanyakan diusahakan oleh rakyat  keturunan  Lubnan.Bagi mendapatkan ikan segar pula saya hanya perlu ke Pantai Lumley berdekatan kediaman dimana terdapat nelayan-nelayan tempatan menjual hasil tangkapan harian mereka kepada pelanggan di persisiran pantai ini.

Mahu atau tidak keadaan yang wujud telah  memaksa saya menjadi 'chef'  menyiapkan makanan ringkas untuk keperluan  berbuka puasa saya dan pada waktu malam pula sediakan makan  sahur sebelum tidur. Makanan lebih juga tidak membazir sebab segala yang lebih akan saya hulurkan kepada pengawal-pengawal di kediaman saya. Ada kala saya berbuka bersama eskot saya yang menyediakan makanan "cassava leave" masakan kegemaran mereka terdiri dari ramuan utama daun ubi kayu dengan rempah ratus tersendiri.  Terasa kesal pula tidak mengambil resepi ini balik ke tanah air. Memang sedap  juga makanan ini apa lagi bila  berkongsi makan dari  satu  besen.Tidak terdapat siaran televisyen apa pun hanya radio sahaja yang merupakan media utama bagi rakyat dan banyak dipenuhi oleh pesanan-pesanan dari orang ramai termasuk laporan kematian. Ini merupaka satu khidmat sosial oleh stesyen radio kepada penduduk Freetown. Satu pandangan biasa di sini ialah banyak dari penduduk akan mempunyai radio yang di tanggong atas bahu atau diletakan di telinga. Perkara ini menimbulkan kehairanan saya. Pengawal saya memberitahu bahawa mereka berbuat demikian untuk mendapat berita jika berlaku serangan pemberontak. Radiolah yang akan menyebarkan berita ini dan mereka yang mula meyelamatkan diri. 


Menunggu isyarat berbuka puasa juga satu masalah dan  terpaksa mengikuti siaran radio  dan juga berpandukan  isyarat  dari dua anggota pengawal saya yang bergama Islam.Walaupun terdapat masjid-masjid berdekatan namun disebabkan masalah dan catuan kuasa letrik di Sierra Leone maka pembesar suara di kebanyakan masjid menjadi bisu.Niat untuk ke terawih juga tidak  kesampaian  disebabkan perintah berkurung yang dikuatkuasakan oleh tentera bersekutu Afrika. Setiap kali berbuka terkenang juga keluarga dan sahabat handai yang sudah pasti berdepan berbagai-bagai juadah lazat dan makanan kegemaran masing-masing.


Sembahyang Raya di stadium Nasional Sierra Leone
 

Menjelang pagi Hari Raya,pemandu saya, Sub Inspektor Amadu (gambar di atas) berpakaian 'kaftan'   tradisi Afrika yang kemas telah datang  menjemput saya untuk menunaikan solat Hari Raya yang di adakan di stadium nasional Sierra Leone, satu projek sumbangan   kerajaan Republik Rakyat China kepada rakyat negara ini. Kami  membawa bersama tikar dan ceret air untuk tujuan wuduk. Setiba saya di Freetown saya mula mengambil  wuduk dengan  air  menggunakan tin "Milo" sahaja. Ini merupakan pengalaman pertama bagi diri saya setiap kali menunaikan sembahyang waktu yang diadakan di tempat letak kereta dibawah Ibu Pejabat Polis Sierra Leone, di George Street,Freetown. Seharusnya kita di Malaysa menghargai air dan berjimat dengan  nikmat ini yang diberikan oleh Allah swt. Saya sekadar mengikut Sub Inspektor Amadu dan mengambil tempat di dalam padang bolasepak dan bertakbir raya. Namun gema takbir tidak sehebat di Malaysia sebab di sini  tidak ada 'chorus' yang menyahut takbir. Bersolat di stadium juga merupakan pengalaman pertama bagi saya. Askar kerajaan ditempatkan disekeliling stadium sepanjang upacara solat dijalankan bagi menjamin keselamatan jemaah kerana ancaman keganasan oleh pemberontak. Ramai yang datang bersama keluarga untuk tunaikan solat. Mereka kenakan pakaian yang cantik berwarna warni.Pakaian putih yang mereka pakai memang betul-betul putih melepak walaupun air menjadi satu masalah di sini.Tambah lagi kualiti air di Freetown amat hebat rasanya.Air  diselenggarakan oleh syarikat 'Guma Water Works' dan rasa persis saperti rasa air yang dinikmati rakyat Pulau Pinang pada tahun 50an dan 60an dulu yang begitu bagus sekali.

Solat Hari Raya merupakan acara yang meriah dan apa yang mengkagumkan ialah  penghormatan khusus yang diberikan kepada Imam yang  memimpin sembahyang raya.Keadaan ini tidak pernah berlaku atau dilihat di mana-mana tempat di Malaysia tetapi telah menjadi tradisi di sini setiap tahun. Imam dan rombongan akan di arak dengan payung besar seakan perarakan penggantin di Malaysia masuk ke dalam stadium.Menurut Sub Inspektor Amadu,rata-rata Imam-imam di kampong juga diarak dari kediaman mereka ke masjid. Ini saya padang adalah satu penghormatan besar yang diberikan dan amat dihormati nampaknya menjadi Imam di sini.Apakah patut kita mulakan tradisi begini terutama di kampong-kampong dan di desa?

Masjid utama Freetown (Syiah)
Selesai solat  masyarakat Islam di sini juga bersalaman antara mereka dengan cara  Afrika yang unik. Bagi saya selesai sahaja solat  saya tidak ada tempat yang hendak dituju selain ke kediaman saya. Tidak ada 'open house' bagi saya tujui. Dirumah saya siapkan makanan paling ringkas - nasi goreng serta kopi "O" dan berayalah seorang diri dengan bersiar dipersekitaran kediaman saya sambil menikmati suasana hari raya.Tak dengar pun lagu raya. Saya juga faham disebabkan masalah ekonomi yang di hadapi mereka maka ini mungkin menyebabkan Sub Inspektor Amadu merasa serba salah untuk mejemput saya ke rumah beliau. Pernah saya diajak makan tengah hari di rumah  oleh Kpl Charlie seorang lagi pemandu saya dan betapa sedihnya hati melihat kediaman beliau di Kingtom Police Barrack, Freetown yang serba kekurangan jika berbanding dengan seorang Koperal berkhidmat dengan Polis DiRaja Malaysia. Ini juga menibulkan perasaan insaf dan bersyukur kepada apa yang dinikmati sebagai seorang anggota Polis DiRaja Malaysia.
 

Sembahyang Jumaat di tempat letak keret di
Ibu Pejabat Polis Sierra Leone
Betapa sempitnya hidup yang dihadapi oleh rakyat tempatan  disebabkan perang saudara dan pengalaman ini juga sentiasa   menimbulkan keinsafan diri dan sentiasa  bersyukur  kepada Allah swt kerana menjadi seorang rakyat Malaysia yang hidup dalam suasana aman damai dan makmur.  Sebaliknya anggota Polis  Sierra Leone yang bergaji  rendah dan memang jauh dari mencukupi.Taraf penghidupan polis di sana juah  ketinggalan di bandingkan dengan Malaysia. Tandas di perumahan mereka juga masih menggunakan sistem tong dan membuat saya teringat pengalaman saya masa kanak-kanak dulu tinggal dirumah kedai kami di Jalan Dato Kramat, Pulau Pinang yang menggunakan sistem tong juga.

Kesunyian  menjadi masalah utama bagi saya disebabkan perintah berkurung dan adakala saya berceloteh dengan pengawal-pengawal saya dan perbualan hanya menimbulkan perasaan belas kasihan diatas cerita  kesengsaraan yang dihadapi mereka sewaktu perang. Mereka masing-masing mempunyai daya 'survival' yang tinggi.

Barrack Polis Di Freetown


Mangsa keganasan Revolutionary United Front (RUF)
Freetown tanpa tangan dan telinga

Kemudahan 'internet' juga begitu sukar dan terhad di Freetown.Tidak banyak  'internet cafe'  yang wujud dan hanya beroperasi pada  siang hari sahaja. Tempat ini  seakan klinik kerana  pelanggan-pelanggan perlu menunggu giliran untuk komputer digunakan. Jumlah          komputer juga sangat terhad.. Saya bernasib baik kerana  ada  komputer riba yang ditinggalkan kepada saya  maka dapatlah saya  berinteraksi dengan keluarga dan rakan yang amat menyeronokan. Mujurlah ada  teknologi ini dimana kita berada ini dapat mengubati rindu dihati seorang perantau. Apa lagi bila dapat sedikit sebanyak melalui media ini merasai  suasana raya  bila terdengar lagu raya melalui siaran stesen radio satelit dari Singapura sebab ketika itu tidak ada stesen satelit Malaysia yang beroperasi.Betapa pilunya hati bila mendengar lagu raya termasyur "Dendang Perantau' didendangkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Bagi mereka yang tidak menghargai keamanan dan kemakmuran  dan tidak juga bersyukur kepada apa yang diberikan oleh Allah swt, saya sarankan mereka agar pergilah melawat ke negara yang berperang dan bukan ke negara yang maju dan lihat sendiri keadaan yang dihadapi rakyat jelata.Apakah yang masih dihendaki? Kita sepatutnya saling faham antara satu dengan yang lain,bantu satu dengan yang lain, bertolak ansur dan sama-sama pastikan negara kita makmur dan maju hidup dalam suasana aman damai di bumi Allah swt yang di tumpang buat sementara ini.

Maka setiap kali munculnya 1 Syawal kenangan saya sudah pasti akan  melayang mengenangkan nasib rakan-rakan dan sahabat-sahabat yang berada di negara lain.Hanya doa sahajalah yang dapat dipanjatkan agar Allah swt melindungi mereka dan memperbaiki hidup mereka terutama kepada semua   umat Islam diseluruh dunia. Ya Allah Kau lindungilah mereka, kuatkan iman mereka, murahkan rezeki mereka dan Kau satukan mereka demi untuk bertaqwa kepada Kau Ya Allah.......,,,Amin1
SELAMAT HARI RAYA



MAAF ZAHIR BATIN