Saturday, 6 August 2011

Adakah masjid dan surau dalam negara punyai sejarah sendiri?

Asalamualaikum,



Masjid Kapitan Kling,P.Pg

   
  Saya sangat tertarik dengan sejarah dan  dengan  informasi serta latar belakang satu-satu tempat atau peninggalan  sejarah yang menarik baik dalam maupun luar negara. Ramai negara yang menyimpan rekod sejarah, perkembangan budaya dan cara hidup mereka dari zaman dulu hingga ke sekarang dengan begitu berkesan.

Sebagai contoh salasilah kerajaan British sangat lengkap dari mula hingga ke zaman ini. Cina juga mempunyai sejarah yang sangat menarik dari sudut apa pun. Tapi bagi kita di Malaysia perkara ini mungkin tidak boleh kita banggakan sebab banyak peristiwa silam yang masih tidak jelas.

Meyentuh hal ini maka timbul satu pemikiran yang  pada pendapat saya mungkin penting dan berguna dalam mengekalkan warisan agama dengan catitan informasi dan data yang tepat dibuat  tentang  setiap masjid di segenap pelusuk negara bagi generasi yang akan datang.

Masjid Khan Mohamed,Pg


Pintu masuk ke Masjid Kapitan Keling

Saya tidak berniat menonjolkan imej sebagai seorang alim tetapi merasa prihatin juga setiap kali saya ke masjid maupun surau dimana saja, saya akan tertanya tanya tentang asal usul serta latar belakang tempat masjid atau surau itu. Kebanyakan masjid dan surau langsung tidak mempunyai informasi   latar belakang dalam bentuk "plaque", atau batu dan sebagainya diletakan perkarangan masjid atau surau berkenaan.

Maka terfikir juga untuk berusaha  untuk mengumpulkan maklumat latar belakang dan data setiap masjid dan surau dalam negara.Namun saya sedar perkara ini ternyata bukan perkara enteng. Maklumlah ini adalah satu tugas yang besar dan juga memerlukan biayaan yang tinggi. Tambahan pula projek ini tidak dapat dilakukan oleh seorang individu saja. Hanya satu kumpulan atau kerajaan saja melalui Jabatan Agama negeri masing-masing yang  boleh mainkan peranan berkesan untuk menjadikan rancangan ini satu realiti. Tak tahu pula kalau-kalau telah ada usaha untuk berbuat demikian. Kalau stesen TV boleh keluar negara membuat berbagai rancangan kenapa ini tidak boleh dilaksanakan dalam negeri sendiri?
Masjid Rawana,Pg

Kita sedia maklum di Malaysia terdapat banyak masjid dan surau  dari yang paling bawah sehingga kepada yang paling tinggi tapi informasi latar belakang mengenai tempat itu bagi pengetahuan pengunjung  kebanyakan tidak dipaparkan langsung.


Perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya dan, pada pendapat saya, adalah satu-satunya cara yang baik menyimpan rekod mengenai aspek  masjid dan surau di negara ini. Tidak dapat dinafikan bahawa disetiap negeri baik di Semenanjung maupun di Sabah dan Sarawak terdapat masjid-masjid dan surau-surau yang telah berusia lebih satu abad. Ada juga masjid dan surau   yang lama yang mempunyai sejarah menarik yang tersendiri. Apakah ini akan merugikan kita sekiranya di satu sudut masjid atau surau berkenaan diwujudkan sedikit informasi tentang masjid atau surau berkenaan? Sekurang-kurangnya kariah dan pelawat ke masjid atau surau akan mengetahui  latar belakang tempat ibadat itu. Pada masa sama kita  dapat juga kenangkan jasa mereka yang bertanggong jawab.

Pihak Jabatan Agama atau Jakim boleh mengambil tanggong jawab ini. Kerjasama setiap Jabatan Agama Negeri perlu di perolehi untuk tindakan yang dinyatakan dan pada masa yang sama dapat terbitkan buku sedemikian bagi negeri masing-masing.Buku yang lengkap dan menarik  dapat dijual kepada orang ramai. Setiap masjid perlu ada sebuah naskah untuk simpanan di perpustakaan mereka sebagai rujukan. Buku ini hendaklah mengandungi gambar masjid dalam bentuk baru dan lama. Artifak lama seperti beduk, gendang raya jika ada boleh dimasukkan, lokasi ikut  google earth, tarikh dibina, sejarah/latar belakang  ringkas dan web site jika ada. Gambar  AJK masjid yang pertama juga boleh dimuatkan juga kerana merupakan sebahgian dari  sejarah masjid berkenaan.
Masjid Tarik Air,Pg
Semua masjid dan surau yang berdaftar dengan Jabatan Agama negeri boleh di libatkan dalam rancangan ini. Buku ini boleh dijadikan rujukan umat Islam serta yang bukan Islam yang berminat tentang bangunan lama dan yang baru dan juga sejarah tempatan


Masjid Melayu Kebun Lama,Pg

         Pada pendapat  saya sekurangnya dengan cara ini akan wujud dokumentasi latar belakang dan data masjid dan surau bagi memelihara warisan berhubung perkembangan Islam dari aspek masjid dan surau.

Sekiranya direnung dan difikirkan satu persoalan mungkin timbul, di manakah masjid yang pertama didirikan di Semenanjung Tanah Melayu? Saya percaya sudah pasti ramai yang mengatakan di Melaka,  mungkin juga tidak di sana. Saya percaya ada yang lebih arif tentang sejarah Islam di tanah Melayu yang dapat bantu menerangkan perkara ini.

Dalam hal ini juga alangkah baiknya sekiranya segala maklumat sekecil mana pun dapat dicatitkan  dan sejarah ringkas masjid dan surau dimuatkan dalam bentuk "plaque" yang dapat dipaparkan di pintu masuk masjid dan surau bagi pengetahuan umum. Ada masjid dan surau yang telah dirobohkan memberi laluan kepada bangunan baru, manum  yang menyedihkan pihak masjid berkenaan tidak langsung menyimpan gambar masjid atau surau yang telah dirobohkan ini sebagai rekod untuk sejarah.

Sebuah masjid lama yang di dirikan oleh seorang warder penjara berhampiran Pudu Jail yang satu ketika berada di Jalan Hang Tuah telah dirobohkan. Di tempat yang sama telah  dibangunkan sebuah masjid yang indah . Saya rasa tidak terdapat gambar atau catitan sejarah masjid ini yang  disimpan atau   paparkan di masjid baru ini, kalau ada Alhamdullilah! Meyimpan rekod adalah kelemahan kebanyakan kita. 
 
Mimbar Masjid Tarik Air
 Saya berharap pihak yang bertanggong jawab atau mana-mana badan Islam  dapat mengambil iktibar dari sini dan melaksanakan projek ini untuk manfaat semua umat Islam negara ini. Bahan ini dapat disimpan sebagai pengetahuan   sejarah berkaitan setiap   masjid dan  surau yang ada di negara tercinta ini.

Sekiranya perkara ini dilaksanakan maka saya percaya segala maklumat dan latar belakang dan data bersangkut rumah-rumah ibadat Islam dalam negara tidak akan luput. Bukankah ini juga merupakan satu jalan mendapatkan ganjaran dari Allah swt.  Insya Allah  saya harap  ada yang dapat menyahut cabaran ini dan jadikan ini satu realiti.

Masjid Lama Lorong Gurney

Kearah ini juga semua AJK masjid perlu sealiran dengan kemajuan zaman   dan sedar bahawa   IT boleh memainkan peranan penting dalam mengembangkan syiar Islam. Iman-iman masakini  juga perlu mahir dalam mengendalikan komputer.Setiap syarahan dan pelajaran agama  boleh menggunakan  komputer yang dapat menarik minat golongan muda untuk ke masjid. Penyampaian syarahan atau ajaran agama akan lebih menarik dengan kaedah IT. Alhamdullilah terdapat sebilangan kecil masjid terutama di lembah Kelang yang telah menyedari hakikat ini.

Saya juga menyokong satu usul dari DYMM Sultan Selangor tidak lama dahulu dimana Baginda Sultan tidak mengalakkan penubuhan surau-surau baru di kawasan perumahan. Sebaliknya Baginda menyeru semua umat Islam di Selangor memeriahkan masjid di kawasan masing-masing dan tidak di surau. Ini satu jalan yang positif bagi memenuhkan masjid dan ini juga perlu fikirkan secara serius oleh semua.

 Pengalaman saya di Pulau Pinang semasa sembahyang Maghrib dan Isya' di sebuah masjid lama di Georgetown hanya terdapat 5-6 jemaah saja di masjid pada waktu solat pada hal terdapat blok perumahan rakyat sekitar 400 meter dari masjid ini. Kalaulah jemaah  di perumahan itu datang beramai-ramai ke masjid ini dan tidak di surau mereka maka sudah pasti masjid ini akan lebih meriah.

Tidak dapat diragukan dengan apa yang dicadangkan ini akan menguntongkan semua sekiranya semua masjid dan surau dapat mengumpulkan sedikit maklumat tentang masjid dan surau masing-masing bagi didokumentasikan. Tambah pula satu "plaque" mengandongi sejarah ringkas masjid boleh dipaparkan untuk tatapan semua di setiap masjid dan surau dalam negara ini . Insya Allah.

Masjid Jamek Ar Rahmah Sg Way.PJ

Kolam air tawar Masjid Lrg Gurney,Pg






 
                                  
                                                   "SELAMAT BERPUASA"
 





No comments: