Tuesday, 30 August 2011

Menjelang 1 Syawal - Kenangan mengusik jiwa



 Meriam Raya tradisional Pontianak
  Yaa! 1 Syawal yang di tunggu-tunggu sudah pun sampai. Sealiran dengan kedatangan Hari Raya dan di dalam keghairahan untuk berada di kampong halaman pada hari raya maka dijangkakan banyak  kemalangan di jalanraya akan berlaku yang sepatutnya dapat dielakkan. Kewaspadaan dan bersikap lebih tanggongjawab boleh mengelakkan perkara ini.

Di kampong dan luar bandar pula bakal terdengar kejadian mereka yang cedera atau hilang  jari akibat cuba mencipta   mercun sendiri atau kerana bermain meriam 'artileri' ciptaan sendiri juga. Semua in ternyata mengundang bala di kala perayaan menjelma.Ibu bapa mestilah mesti mengawasi anak masing-masing supaya hari raya tidak menjadi hari bersedih pula. 

Walau pun kerajaan mengharamkan pembakaran mercun dan permainanan apa jenis meriam pun dan disamping nasihat dan amaran bertubi-tubi tentang bahaya ini,namun semua ini saperti menuang air di daun keladi saja. Banyak bahan haram ini di seludup masuk ke sini dari negara jiran dan sudah menjadi perkara biasa saja. Pada malam ini pun telah mula bunyi mercun di sana sini. Sepatut risikan di pertingkatkan sepanjang tahun  untuk melumpuhkan kegiatan ini dan sekali gus hapuskan budaya asing ini.
 
Di pinggir Sg Kapuas,Pontianak
Mengimbas tentang bermain meriam ini,maka teringat pula saya semasa bertugas di Pontianak,Kalimantan Barat pada tahun 80an dulu. Di sana permainan meriam raya merupakan yang paling hebat di seluruh Indonesia. Yang pelik, tak pula terdengar  berita tentang orang yang cedera akibat bermain meriam  semacam yang terjadi disini.Pada hal meriam  mereka itu lebih besar dan  bunyinya pun lebih dahsyat seakan macam perang di Iraq lebih kurang kuatnya.

Tambah pula meriam  mereka di perbuat dari batang pokok-pokok besar. Tapi sekarang telah ada meriam moden diperbuat dari konkrit barangkali.Beberapa hari sebelum raya lagi dah mula 'perang' meriam disana. Suasana memang sungguh meriah sekali yang tidak dapat kita tandingi.

Pada waktu senja berdentam-dentum bunyi meriam mengisi ruang udara Pontianak hingga tak terdaya pihak berkuasa nak bendung hal ini. Apakan daya, ini sudah menjadi budaya berzaman masyarakat setempat di Kalimantan Barat. Satu tradisi sejak dari pemerintahan Kesultanan Melayu Pontianak lagi. Mainan meriam juga dikatakan berlaku di Lampung,Sumatra tetapi tak sehebat di Kalimantan Barat. Dentum-berdentum bunyi meriam raya ini pun berkesudahan dengan semuanya aman tenteram juga. 

Setiap kali menempuh Ramadan fikiran saya akan melayang mengenangkan hari-hari raya saya di Kalimantan Barat.Pengalaman ini akan terus kekal terpahat  abadi di sanubari saya. Berhari raya di perantauan buat pertama kali dalam hidup saya, itulah yang sangat bermakna kepada saya kerana suasana yang saya alami disana tidak  pernah di rasai di negara sendiri.

Meriam moden sekarang
Pada yang berkemampuan dan kesempatan pergilah dan menikmati sendiri suasana hangat sebelum dan semasa hari raya di Pontianak. Tradisi   pada malam sebelum hari raya dahulu juga sangat luar biasa sekali.Jalan-jalan di kota  penuh sesak dengan motosikal dan kenderaan membunyikan hon serta bertakbir raya menandakan selesainya ibadah puasa dan hari raya telah pun tiba. Tapi dengar khabar perkara ini tidak  lagi di adakan di telan pembangunan.


Suasana Ramadan juga membawa kesan yang manis pada diri saya. Bersahur di Pontianak juga sangat istimewa kerana warga kampong akan bergerak di sekeliling kampung memukul tin dan tiang letrik untuk bangunkan penduduk setiap hari untuk bersahur. Suasana berbuka puasa pula adalah saperti biasa dan masing-masing  tertumpu di rumah.

Ketika itu tidak ada pasar Ramadan semacam kita disini. Di hotel pun tidak  di adakan makanan 'buffet' istimewa saperti kita di sini. Tapi sekarang  keadaan mungkin berubah kerana  mengikut jejak pembangunan jiran mereka Sarawak.

Sembahyang terawih  sangat menyeronokkan dari hari pertama  hingga ke akhir.Masjid dan surau begitu meriah dan barisan saf-saf begitu penuh dari mula hingga ke akhir tidak saperti di sini yang semakin berkurangan bila semakin hampir ke hari raya.Tambah pula yang hadir berterawih termasuk yang muda,tua, lelaki dan perempuan.Di Pontianak kita tak perlu khuatir kerana di setiap 'gang' atau lorong ada masjid atau surau untuk beribadah. Alangkah baiknya sekiranya fenomena yang sama wujud di negera kita demi perpaduan ummah.

Di sana pun sama, sebelum tiba hari raya warga Kalimantan Barat juga akan berebut untuk pulang ke kampong halaman mereka. Setakat ingatan saya masa dulu tak juga berlaku kemalangan teruk macam yang berlaku di sini. Di pagi 1 Syawal kota Pontianak begitu hidup dengan warga kota berkeliaran ke masjid-masjid untuk solat hari raya.

Masjid Mujahiddin di Pontianak merupakan masjid utama dan mempunyai ciri seakan masjid negara dan menjadi tumpuan ramai. Hairan pula saya pada ketika itu, kerana mereka tidak gunakan dewan utama solat  sebaliknya menggunakan perkarangan masjid dan jalan raya sebagai tempat menunaikan solat raya. Solat raya juga di adakan atas jalanraya di hadapan markas tentera di Pontianak. Apakah tradisi ini masih diteruskan tidak saya ketahui pula.

Sebagai seorang 'bujang lokal' di sana, pada setiap hari raya tidak terasa langsung rindu terhadap kampong halaman sendiri.Sebaliknya saya rasa amat gembira berhari raya di perantauan. Pada hari raya  juga tak terdaya  saya memakan hantaran makanan dan juadah yang di berikan oleh kenalan dan jiran-jiran berhampiran. Kemesraan penduduk di sekitar tempat kediaman saya yang mengangap saya saperti saudara mereka. Ini  membuat saya rasa tidak terasing diperantaun dan merasa sebagai sebahgian dari masyarakat setempat. Sehingga kini saya masih berhubung dengan rakan dan kenalan di sana dan inilah satu perkara yang penting bagi diri saya.

Memang niat di hati ingin kembali ketempat yang penuh kenangan dan memberi kesan dan pelajaran kepada saya.Apatah lagi penugasan di sana merupakan yang  pertama kali dalam hidup saya meninggalkan tanah air. Tibanya saya di situ tanpa rakan atau saudara mara,namun satelah selesai tanggongjawab yang diamanahkan  saya telah dapati ramai kenalan yang pada mulanya dianggap sebagai rakan biasa telah berubah menjadi saperti saudara mara saya di perantauan.

Kita dijadikan Allah swt untuk saling berhubung dan mengeratkan silatulrahim sesama manusia dan itulah yang  telah saya lakukan tanpa mengira darjat dan kedudukan seorang.Ini adalah matlamat penting dalam hidup kita.

Wahai Pontianak, Kota Khatulistiwa!  Kau telah mengajar aku tentang makna penghidupan. Kau telah memberikan kesedaran agar aku bersyukur kepada Allah swt di atas apa yang dikurniakan. Pontianak akan tetap ku kenang selagi hayat dikandong badan! 
Akhir kata,


                                   "SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
                                                   "MAAF ZAHIR BATIN"
.  






.

No comments: